Nabi Muhammad s.s.w. menggandakan amal dalam bulan Ramadhan lebih daripada bulan-bulan lain. Dalam bulan Ramadhan pula baginda lebih rajin beramal dalam masa sepuluh hari terakhir daripada keseluruhan bulan itu. Nyatalah tempoh tersebut mempunyai keutamaan dan fadhilatnya.
Para ulama berkata kemungkinan Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir Ramadhan. Nabi Muhammad s.a.w. telah menganjurkan umat Islam supaya mencari malam Qadar tersebut, kerana orang yang beramal pada malam itu sangat besar ganjarannya dan diumpamakan sebagai lebih utama daripada seribu bulan, tidak kira sama ada ia mengetahui malam Qadar itu ataupun tidak.
Oleh itu setiap mukmin mestilah menyediakan dirinya untuk mencari malam tersebut bermula dari awal bulan lagi. Tidak bermakna hanya mencari-cari satu malam itu sahaja baru mahu beramal. Umat Islam sewajarnya memperbanyakkan amalan pada tiap-tiap malam pada bulan Ramadhan ganjarannya berlipat ganda jika dibandingkan dengan amalan pada bulan-bulan lain. Selain daripada itu amalan yang dilakukan setiap malam itu sudah pasti akan menemui satu malam yang dicari-cari itu.
Para ulama mempunyai pendapat masing-masing mengenai malam Qadar ini. Mengikut Imam Ghazali, malam ini boleh dikenali seperti berikut :
1. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau hari Rabu, maka Lailatul Qadarnya pada malam 29hb. Ramadhan.
2. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Isnin, maka Lailatul Qadarnya pada malam 21hb. Ramadhan.
3. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatul Qadarnya pada malam 27hb. Ramadhan.
4. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Khamis, maka Lailatul Qadarnya pada malam 25hb. Ramadhan.
5. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, maka Lailatul Qadarnya pada malam 23hb. Ramadhan.
Selain daripada tanda-tanda itu, Lailatul Qadar juga boleh dikenali dengan tanda-tanda lain seperti malam itu langitnya kelihatan suci bersih, bulannya bercahaya segar, terang benderang, udaranya nyaman, tidak sejuk tidak panas, manakala matahari diwaktu pagi memancarkan cahaya yang seimbang seperti cahaya bulan purnama. Sungguhpun panduan dan gambaran telah diberikan oleh para ulama, namun tarikh atau bila berlakunya Lailatul Qadar itu adalah sukar dipastikan. Inilah rahsianya supaya umat Islam bersungguh-sungguh beramal ikhlas kerana Allah s.w.t. mudah-mudahan akan memperolehi faedah malam yang berharga itu.
Friday, September 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment